Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik serta mengangkat semula martabat sekolah pondok kerana ia adalah benteng mempertahankan akidah umat Islam di negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah antara fokus perbincangan dalam pertemuannya dengan golongan ulama pondok di Malaysia, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, sekolah pondok di negara ini sering digambarkan sebagai pusat pendidikan yang daif dan ketinggalan.

“Tatkala kita dijajah, sistem politik, pimpinan, sistem ekonomi semua mengikut acuan barat… sistem pendidikan kita dirombak menjadi sistem pendidikan barat, bahasa (barat) diagungkan sementara bahasa kebangsaan kita terhina dan terhimpit.

“(Namun) satu-satunya (yang tinggal) adalah pondok dan pesantren, dan ia mempunyai jasa yang luar biasa penting untuk mempertahankan akidah serta ummah.

“Jadi, sekolah pondok yang kebanyakan dalam keadaan daif, akan dipulihkan. Kita akan menambah teknologi baharu, termasuk teknologi maklumat, pendigitalan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), supaya ia kekal menjadi pusat pendidikan yang terkuat, boleh mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 yang membuka tirainya, hari ini, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Anwar menekankan meskipun pusat pendidikan agama itu ditambah baik bagi memenuhi keperluan semasa, pihaknya tidak akan membuat sebarang perubahan kepada kitab yang digunakan.null

“Kita akan mengekalkan kitab-kitab mereka, ia tidak akan berubah… (kita juga akan) kekalkan pendekatan dakwah mereka kerana kita tidak bermaksud hendak membuat sebarang perubahan. Itu adalah keputusan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan peluncuran Mushaf Ummah di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, Jumaat depan.

“Ketika rakyat di luar negara cuba membakar al-Quran seperti di Sweden, kita akan menjawab (tindakan pelampau) itu dengan menerbitkan satu juta naskhah al-Quran yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Jerman, Tagalog dan Hebrew.

“Kita juga akan mula mengedarkannya di Sweden, iaitu tempat (insiden) bakar Al-Quran… satu naskhah dibakar, kita akan kirimkan sejumlah naskhah al-Quran ke setiap sekolah dan universiti di sana.

“Itu cara kita jawab (perbuatan membakar al-Quran) secara berhemah. Ia juga cara kita menyampaikan dakwah. Bagi saya, itu adalah satu pendekatan yang baik,” katanya.-BH Online