WELLINGTON: Beberapa elemen yang diperkenalkan New Zealand untuk menjaga hak komuniti Maori akan dipertimbang untuk pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata elemen berkenaan merangkumi hak pemilikan tanah, penyertaan dalam pendidikan dan mewujudkan agensi pembiayaan khususnya dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata apa dilakukan New Zealand terhadap komuniti pribumi negara itu boleh menjadi aspirasi dan disesuaikan dengan konteks Malaysia.
“Beberapa perancangan harus dijadikan sebagai sebahagian daripada perundangan. Apa yang saya pelajari daripada kementerian khusus kemajuan orang-orang Maori di sini, ia bukan bukan hanya sekadar akta yang meliputi hak pemilikan tanah semata-mata.
“Tetapi termasuk hak dalam bidang pendidikan, pembabitan mereka dalam keusahawanan dan juga agensi khusus untuk pembiayaan perniagaan mereka,
“Akta 134 ini telah berusia 71 tahun dan banyak aspek perlu diperhalusi semula. Di sini, kita bukan sekadar melihat pemilikan tanah tetapi hak mereka dalam pendidikan, perniagaan dan pembiayaan.
“Cuma, kita tidak bolehlah memakai acuan New Zealand sepenuhnya, namun pendekatan itu boleh diadaptasi berdasarkan keperluan dan realiti masyarakat Orang Asli di Malaysia,” katanya pada sidang media di Rumah Malaysia, hari ini.
Mengulas perkembangan draf pindaan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan ia kini berada di peringkat awal.
Selain itu, katanya proses libat urus sedang dijalankan dengan pelbagai pemegang taruh termasuk tokoh akademik serta golongan profesional dalam kalangan Orang Asli.
Justeru, beliau menjangkakan draf pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen Mac tahun hadapan.
Untuk itu, katanya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dipertanggungjawab untuk merangka semula ekosistem pembangunan Orang Asli mencakupi keperluan asas seperti infrastruktur dan pendidikan.
“Tujuan pindaan ini bukan untuk menafikan hak, sebaliknya untuk memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat Orang Asli.
“Ia akan melalui proses perbincangan Kabinet sebelum dibentang di Parlimen, dibahaskan, diundi dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk digazetkan,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, pembabitan semua pihak termasuk kerajaan negeri dalam urusan pemilikan tanah dituntut memandangkan bidang kuasa berkenaan terletak bawah pentadbiran negeri.
Walaupun Orang Asli adalah komuniti minoriti, Ahmad Zahid menegaskan kerajaan tidak sekali-kali akan meminggirkan hak komuniti itu yang kini mempunyai populasi lebih 225,000 orang di Semenanjung Malaysia.
“Kerjasama kerajaan negeri amat penting. Kita tidak mahu mengetepikan mana-mana pihak, justeru sesi libat urus dengan kepimpinan negeri dan wakil 377 perkampungan Orang Asli sedang dijalankan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan bersama Menteri Pembangunan Maori, Tama Potaka bertempat di Bilik Mesyuarat Menteri, Parlimen New Zealand.
Pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai dasar pembangunan komuniti pribumi, sekali gus membuka potensi kerjasama antara Malaysia dan New Zealand dalam memperkasa komuniti Orang Asli negara.
Beliau kemudian mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, David Seymour di Bangunan Beehive.
Selepas itu, beliau mengadakan sesi libat urus bersama Presiden Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ), Ibrar Sheikh di Rumah Malaysia.-BH Online