Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN sedang bersedia menghadapi masa depan yang mencerminkan komitmen blok serantau itu terhadap keterangkuman yang lebih luas dan berdaya tahan, khususnya menerusi Visi Komuniti ASEAN 2045.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata meskipun dalam ketidaktentuan iklim global, ASEAN tidak boleh berhenti berusaha dalam bersedia demi masa depan.

“Bersama-sama kita membayangkan masa depan ASEAN pada 2045. Visi jangka panjang seumpama ini bukan sekadar memerlukan strategi, tetapi menuntut kerja keras dalam menghadapi situasi luar jangka.

“Ya, saya pernah dengar orang mempersoalkan, mengapa merancang untuk 20 tahun akan datang sedangkan untuk dua minggu pun sukar dalam situasi global masa kini? Jangan hanya kerana kita tidak boleh meramal cuaca, tidak bermakna kita tidak perlu membawa payung.

“Perancangan bukannya soal kepastian, tetapi kesiapsiagaan ASEAN untuk masa depan,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala bagi meraikan Menteri-Menteri Luar dan isteri, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Pada majlis itu, delegasi dihidangkan dengan durian, dengan Mohamad sempat berseloroh “Durian ini raja buah-buahan. Sama ada anda suka (baunya)… atau tidak suka. Kita akan nikmatinya nanti di luar.”

Makan malam itu diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Artistana Istana Budaya dan dendangan beberapa lagu oleh penyanyi terkenal tanah air Dayang Nurfaizah, persembahan koir serta orkestra.