KUALA LUMPUR: Seramai 96,844 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah di seluruh negara sejak 2024 hingga September lalu, dengan trend tangkapan menunjukkan peningkatan tahun demi tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata 33,136 individu ditahan pada 2024, sebelum meningkat kepada 36,740 pada 2025, membabitkan peningkatan 3,604 tangkapan atau 10.9 peratus.
“Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, 26,968 tangkapan warga asing yang terbabit dalam kesalahan jenayah direkodkan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah membabitkan warga asing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Khalid berkata, PDRM turut memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan lain menerusi operasi bersepadu, perkongsian risikan serta tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.
“Komitmen kami melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara tegas dan berterusan terhadap mana-mana individu, termasuk warga asing yang didapati terbabit dalam kegiatan jenayah di negara ini.
“Dalam tindakan ini, PDRM berpegang teguh kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang kepada semua tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan adalah tertakluk kepada undang-undang negara,” katanya.
Beliau berkata, perbuatan melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani menerusi tindakan penguatkuasaan tegas selaras dengan peruntukan perundangan berkuat kuasa.
Orang ramai dan masyarakat setempat disaran untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa sekali gus membantu usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. -BH Online
