KOTA TINGGI : Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menerima empat lagi pesawat tempur ringan FA-50M April depan sebelum berlangsung Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ketibaan empat pesawat yang dibangunkan Korea Aerospace Industries (KAI) itu akan menjadikan jumlah enam pesawat FA-50M diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, baki 12 pesawat pula akan diterima secara berfasa menjelang Mac 2028, sekali gus melengkapkan penghantaran keseluruhan 18 pesawat yang diperoleh kerajaan.
“MINDEF telah menerima dua pesawat berkenaan pada akhir Oktober lalu. Sebelum LIMA, kita akan menerima empat lagi pesawat.
“Selepas itu, kita akan menerima secara berfasa keseluruhan 18 pesawat menjelang Mac 2028,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI – Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) di Sekolah Kebangsaan Panchor, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, semua 18 pesawat tempur ringan itu akan berpangkalan di Kuantan, Pahang dengan penempatan pesawat berkenaan di lokasi lain akan dipertimbangkan selepas pesawat Hawk milik TUDM ditamatkan perkhidmatan.
Pada 30 Oktober lalu, Mohamed Khaled menerima dua pesawat FA-50M pertama yang diperoleh TUDM, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Kedua-dua pesawat berkenaan tiba di Pangkalan Udara TUDM Labuan selepas diterbangkan dari Sacheon, Korea Selatan.
Malaysia memeterai kontrak perolehan 18 pesawat FA-50M daripada KAI pada 2023 dengan nilai hampir RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Pesawat berkenaan diperoleh di bawah program Pesawat Latihan Tempur dan Pesawat Tempur Ringan (FLIT-LCA) bagi menggantikan pesawat Hawk TUDM yang semakin berusia, selain berfungsi sebagai pesawat latihan lanjutan juruterbang pejuang dan melaksanakan misi tempur ringan. -BH Online

