KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kebajikan kaum India di negara ini akan terus diberi perhatian, termasuk dalam bidang pendidikan dan menangani kemiskinan, sama ada bagi golongan yang tinggal di bandar atau kawasan estet.
Perdana Menteri berkata, masih ada perkara perlu ditambah baik kerajaan, antaranya membabitkan sekolah dan bahasa Tamil, kuil serta nasib golongan peniaga.
“Kita berbuat sebaik mungkin, ada yang harus kita perbaiki. Dalam bidang pendidikan, isu kuil Hindu, peniaga India dan soal kehidupan kaum India yang miskin di kota dan estet, yang harus kita cuba tangani dan selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Seri N Gobalakhrisnan.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan memastikan pelaksanaan bantuan kebajikan mengambil kira keperluan rakyat tanpa mengira kaum, selaras dengan usaha memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negara.
Beliau berkata, pendekatan itu dapat dilihat menerusi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain bantuan RM200 kepada setiap murid sekolah pada Januari ini yang membabitkan semua aliran pendidikan.
“Anak-anak kita di semua aliran sekolah, kaum dan daerah masuk sekolah, kita berikan RM200 setiap anak sekolah sebab kita fikirkan masa depan dia,” katanya.-BH Online

