Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

Kuching: Sarawak mempunyai potensi besar untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi sumber tanah yang luas, kepelbagaian sektor pertanian, kekayaan biodiversiti serta pengetahuan masyarakat tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata segala kelebihan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mewujudkan peluang ekonomi produktif dan sumber pendapatan mampan kepada masyarakat.

Beliau berkata, perkembangan global ketika ini mengingatkan rantaian bekalan makanan mudah terjejas akibat gangguan luaran, peningkatan kos pengeluaran serta cabaran berkaitan perubahan iklim.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu terus memperkukuh pengeluaran makanan domestik selain membangunkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan mampan bagi menghadapi ketidaktentuan pada masa depan.

“Di Sarawak, kita amat bertuah kerana memiliki potensi besar, termasuk sumber tanah, kepelbagaian sektor pertanian, kekayaan biodiversiti serta pengetahuan masyarakat tempatan.

“Tanggungjawab kita memastikan segala kelebihan ini diterjemahkan kepada peluang produktif dan sumber pendapatan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan Kapasiti RISE 2026 bagi Penyedia Penyelesaian Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan ( APPGM-SDG) Sarawak, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, usaha memperkukuh keterjaminan makanan tidak boleh hanya tertumpu kepada peningkatan hasil pengeluaran pertanian, sebaliknya perlu disokong akses kepada pengetahuan pertanian dan teknologi bersesuaian.

Katanya, kemudahan pembiayaan, pembangunan infrastruktur serta akses pasaran juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan sektor pertanian mampu berkembang dan memberikan pulangan ekonomi kepada pengusaha.

Beliau berkata, inisiatif keterjaminan makanan diterajui komuniti amat penting kerana bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran makanan, malah menyemai pengetahuan, kerjasama dan keupayaan masyarakat untuk berdikari.

Katanya, apabila komuniti berupaya menghasilkan, mengurus dan mengekalkan sumber makanan sendiri, mereka bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan kehidupan semasa, malah membina daya tahan menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Beliau turut memuji usaha APPGM-SDG dan komuniti melaksanakan pelbagai projek keterjaminan makanan sambil menegaskan kejayaan agenda berkenaan memerlukan kerjasama berterusan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat di peringkat akar umbi.-BH Online