Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan, selaras dengan pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata keputusan itu kekal meskipun terdapat kebimbangan dan permintaan daripada beberapa pertubuhan belia supaya pelaksanaannya ditangguhkan.

“Majlis Belia Malaysia (MBM) membangkitkan kebimbangan mereka dalam isu ini kepada Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) kali ini, menyatakan mereka rasa kurang bersedia untuk melaksanakan had umur 30 tahun pada 1 Januari 2026.

“Mereka meminta supaya kita jangan kurangkan had umur belia kepada 30 tahun, tetapi menurunkannya kepada 35 tahun, dan menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan ini mungkin menjejaskan belia di luar bandar,” katanya pada sidang media MPBN di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata Kementeriannya sudah melakukan pelbagai sesi libat urus serta menyalurkan sokongan dana bagi membantu proses transisi had umur belia.

“KBS juga akan membawa satu kertas ke Kabinet bagi memastikan kementerian lain yang menyediakan bantuan, program dan dasar untuk golongan belia tidak akan terkesan.

“Transisi ini hanya terpakai kepada had umur bagi pertubuhan belia berdaftar. Isu ini juga kita sudah tangguhkan dua kali, dan ini adalah persetujuan yang telah dicapai sejak tahun 2023,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 8,272 pertubuhan belia berdaftar secara sah di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan daripada 99,139 pemegang jawatan, seramai 53,535 orang (54 peratus) adalah di bawah umur 30 tahun.

Namun, hanya 865 pertubuhan belia (10 peratus) telah membuat pindaan perlembagaan masing-masing mengikut had umur baharu seperti ditetapkan di bawah Akta A1602.

Selain itu, tiga usul utama dibahaskan, membabitkan cadangan pembentangan Kertas Putih Keselamatan Jalan Raya, akses pendidikan tinggi pasca-SPM, dan pelaksanaan dasar persejarahan negara yang lebih progresif.-Buletin TV3