Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NIBONG TEBAL: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerima 27 aduan berkaitan pelbagai kes pelanggaran hak pekerjaan termasuk kegagalan membayar gaji minimum daripada pekerja syarikat bas bermula 2024 hingga Jun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata sebanyak lapan aduan diterima pada tahun 2024, manakala 19 lagi aduan bagi tempoh pertama tahun ini.

Tegasnya, pihaknya sentiasa melakukan tinjauan dan pemeriksaan untuk memastikan majikan untuk menguatkuasakan gaji minimum seperti yang termaktub sepanjang masa di semua sektor.

“Jadi saya ingin menyeru kepada semua majikan untuk mematuhi undang-undang gaji minimum sebab ini adalah undang-undang yang harus dipatuhi.

“Gaji minimum ini bukan saranan, bukan cadangan tetapi adalah satu keadaan yang telah diperuntukkan oleh undang-undang.

“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) khususnya sentiasa melakukan pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan pada undang-undang buruh di Malaysia, termasuk pelaksanaan keadaan gaji minimum,” katanya 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pemandu bas ekspres yang mendakwa tidak mendapat gaji minimum RM1,700 daripada majikan walaupun ia telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Terdahulu, Steven Sim hadir merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan My Future Job di Kompleks Penjara Seberang Perai, di sini, hari ini.

Jelasnya, selain gaji minimum pelbagai aduan lain turut dikemukakan antaranya isu kegagalan membayar gaji, tiada bayaran kerja lebih masa, faedah penamatan kerja, serta ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang seperti Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, Penawar Express Line Bhd menjadi antara satu-satunya syarikat bas yang telah dikenakan tindakan pendakwaan pada tahun lalu mengikut Seksyen 43 kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum.

“Malah syarikat ini telah didakwa sebanyak dua kali di bawah seksyen sama yang mana menunjukkan bahawa pihak kementerian tidak berkompromi terhadap majikan yang melanggar hak pekerja.

“Tambahan pula, kita amat serius untuk memastikan perlindungan sewajarnya diberikan kepada semua pekerja, tanpa mengira sektor,” katanya.-BH Online