Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Tiada sebarang pencerobohan membabitkan pemaju atau mana-mana kontraktor sehingga menyebabkan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sebaliknya kerja pembangunan atau pengorekan tanah dilakukan di luar titik tapak kejadian berkenaan.

Beliau berkata, syarikat pemaju yang menjalankan kerja paip kumbahan di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sudah memohon dan menerima kebenaran daripada PETRONAS.

“Namun, PETRONAS meletakkan syarat antaranya melantik panel yang digariskan oleh mereka. Syarikat itu melakukan penggalian di kawasan-kawasan Petronas. Hasil daripada cadangan mereka dikelola dan dipantau di bawah tindakan-tindakan PETRONAS.

“Jadi, tidak ada pencerobohan selepas dibenarkan. Syarikat (subkontrakor) yang dianggap senarai hitam juga tidak memulakan kerja,” katanya pada penggulungan di bawah Peraturan Tetap 13 (i) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor mengenai Insiden Letupan Paip Gas di Putra Heights di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Amirudin turut meminta MBSJ menambah baik pemilihan kontraktor sebelum pelantikan dibuat dengan membuat semakan menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Dalam pada itu, Amirudin memberi jaminan hasil laporan siasatan yang akan dilakukan Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas bakal dibawa ke Persidangan DUN akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua terbuka untuk mengadakan sesi taklimat khas berhubung laporan jawatankuasa membabitkan semua ADUN sebelum sidang DUN seterusnya bermula.

“Laporan (jawatankuasa teknikal) sudah dibawa ke Dewan dan dibentangkan. Selepas ini jawatankuasa (Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas) akan siasat. 

“Kita akan bawa (teliti) laporan itu, bagi masa secukupnya untuk disemak kemudian dibahaskan. Yang lebih penting adalah langkah susulan supaya peristiwa ini dapat dielakkan di masa depan,” katanya.

Amirudin semalam dilaporkan berkata, kerajaan Selangor bersetuju melantik dua pakar yang dinamakan oleh pihak pembangkang bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas bagi menjamin ketelusan laporan membabitkan insiden letupan itu.

Katanya, jawatankuasa itu yang akan dianggotai oleh tujuh tenaga pakar bakal membabitkan pelbagai agensi, termasuk wakil kerajaan negeri, Persekutuan dan badan berkaitan seperti PETRONAS bagi meneliti hasil siasatan bagi merangka cadangan undang-undang dan langkah pencegahan jangka panjang.

Katanya, jawatankuasa berkenaan membabitkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), PETRONAS.-BH Online