Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tinjauan pertumbuhan ekonomi negara buat masa ini masih kekal dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di tengah-tengah ketidaktentuan berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Unjuran rasmi awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 ialah 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Beliau berkata, pada masa ini, BNM sedang menilai mengenai prestasi ekonomi dan mereka juga sedang menunggu hasil rundingan tarif timbal balas AS itu.

“Mereka (BNM) sedang membuat analisis. Buat masa ini unjuran rasmi masih sama,” katanya pada sidang media khas berhubung pengumuman tarif oleh AS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai prospek ekonomi negara susulan pengumuman tarif timbal balas AS sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia.

Mengenai prestasi perdagangan bagi 2025, Tengku Zafrul berkata, angka setakat ini dilihat kukuh dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berusaha mempertingkatkan eksport negara.

Beliau berkata, kebimbangan ketidaktentuan tarif timbal balas AS itu juga mendorong aktiviti pengumpulan hadapan oleh syarikat.

Katanya, tindakan aktiviti pengumpulan hadapan itu akan mendorong meningkatkan eksport dan inventori.

Pada Mei 2025, Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan perdagangan dengan meningkat 2.6 peratus kepada RM252.5 bilion, menandakan pertumbuhan tahun ke tahun bagi bulan ke-17 berturut-turut.

Prestasi itu disumbangkan oleh pertumbuhan import yang kukuh sebanyak 6.6 peratus kepada RM125.86 bilion, sementara eksport mencatat penurunan kecil sebanyak 1.1 peratus kepada RM126.6 bilion.-BH Online