Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GAZA, 29 Jun– Angka korban rakyat Palestin di Gaza kini meningkat kepada 56,412 orang, manakala 133,054 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu.

Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan udara Israel telah meragut 81 nyawa dan mencederakan 422 orang lagi.

Situasi di Gaza terus meruncing apabila satu laporan dikeluarkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat menyatakan bahawa respons kesihatan di wilayah itu kini berada pada tahap kritikal.

Ini susulan kemusnahan fasiliti kesihatan, sekatan pergerakan, serta kekurangan bekalan perubatan dan bahan api.

Menurut laporan tersebut, 49 peratus daripada bekalan perubatan penting kini kehabisan stok, manakala 21 peratus lagi dijangka kehabisan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Laporan itu turut memetik data dari Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), yang menyatakan bahawa rakyat Gaza kini “terperangkap di ruang yang semakin mengecil”, dengan 82.6 peratus kawasan Gaza kini berada dalam zon ketenteraan Israel, dikenakan arahan pengusiran atau gabungan kedua-duanya.

PBB menganggarkan lebih 684,000 orang telah kehilangan tempat tinggal buat kali kedua sejak kegagalan perjanjian gencatan senjata pada Mac lalu.

Sejak permulaan konflik, 331 fasiliti UNRWA telah terjejas akibat insiden berkaitan pertempuran.

Sekurang-kurangnya 812 orang terkorban dan 2,500 lagi cedera ketika berlindung di premis-premis agensi itu.- REUTERS