Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BALING: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu pelantikan jawatan dalam institusi keselamatan negara tidak seharusnya dijadikan polemik berasaskan fahaman politik atau perkauman.

Menurutnya, semua pelantikan termasuk dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dilakukan menerusi proses saringan ketat yang berpaksikan merit dan disiplin perkhidmatan tanpa mengambil kira latar belakang kaum atau agama.

Katanya, keadaan yang berlaku ketika ini tidak terjadi ketika era 90-an dimana semua pegawai yang dilantik ketika itu bekerja dengan penuh harmoni tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Baru-baru ini apabila timbul seorang naik pangkat dapat dua bintang, daripada satu jadi dua (bintang) jadi benda itu timbul.

“Timbul pulak dengan buat kenyataan spekulatif, gambarannya adalah kalau keadaan sekarang ini berterusan maka dikait pula suatu hari nanti Perdana Menteri Malaysia pun (berbangsa) Cina dan segala macam. 

“Jadi (ini) keadaan yang cuba kita elak dalam Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum. Kalau boleh kita elak, dimana tidak semua perkara, kita kena ulas dari kaca mata perkauman.

“Lebih-lebih lagi institusi ketenteraan. Mereka lebih tahu proses naik pangkat, ada Majlis Angkatan Tentera, tapisan dan macam-macam,” katanya selepas melawat tapak projek pembinaan Empangan Sabo di lembangan Sungai Kupang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelantikan Datuk Johny Lim Kean Seng sebagai Leftenan Jeneral ATM mendapat perhatian selepas dikritik oleh Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad menerusi satu hantaran media sosial.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim dilapor membidas kenyataan Zaharuddin itu dan menyifatkannya sebagai satu bentuk penghinaan terhadap kebijaksanaan ATM serta Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Susulan itu, PAS dilaporkan turut memandang serius kenyataan berkenaan dan sedang meneliti tindakan lanjut berhubung dakwaan yang menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kenyataan berbaur perkauman seperti itu amat berbahaya dan tidak mencerminkan semangat perpaduan dalam negara majmuk seperti Malaysia.

Beliau turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan supaya tidak ada pihak yang menjadikan agama sebagai alat politik untuk memecah-belahkan perpaduan negara.

Katanya, peringatan itu jelas menunjukkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap keharmoniandan wajar dijadikan panduan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Perpaduan negara harus sentiasa diutamakan dan semua pihak perlu berhenti memperbesar isu perkauman yang boleh menggugat kestabilan negara,” katanya.-BH Online