Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Landskap politik global yang semakin mencabar dan tidak menentu ketika ini menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa bersedia serta dilengkapi teknologi pertahanan terkini untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah peperangan antara Iran dengan Israel serta konflik berpanjangan di Gaza, jelas menunjukkan undang-undang antarabangsa juga tidak mampu untuk memelihara keamanan dunia.

“Adalah penting untuk ATM sentiasa bersedia dan dilengkapi teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Ini kerana kita tidak tahu siapakah kawan dan siapakah lawan,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana, Sungai Besi di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut mengingatkan kerajaan supaya menentukan tiada campur tangan politik ataupun pengaruh daripada syarikat pembekal dalam semua proses perolehan peralatan.

“Pucuk pimpinan ATM juga hendaklah sentiasa amanah dan tidak terbabit sebarang perlakuan rasuah.

“Selaku pemerintah tertinggi ATM, saya tidak akan bagi muka kepada sesiapa juga yang menggunakan kedudukan untuk kesenangan peribadi,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menegur budaya penggunaan media sosial dalam kalangan anggota tentera, sekali gus mengingatkan mereka supaya tidak memuat naik semua perkara, khususnya maklumat berkaitan pasukan lokasi gerakan dan lain-lain maklumat sensitif berkenaan pasukan terbabit.

Titah baginda, peperangan Iran-Israel menunjukkan kedua-dua pihak dengan mudah menggunakan maklumat diperoleh daripada syarikat-syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial untuk melakukan serangan.

“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Guna akal fikiran dan jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum.

“Adalah lebih baik kita beringat supaya tidak menyesal kelak di kemudian hari,” titah Seri Paduka lagi.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 509 pegawai kadet yang tamat latihan, hari ini.

Baginda sekali gus mengingatkan mereka bahawa kerjaya sebagai pegawai tentera menuntut pengorbanan tinggi, kekuatan diri, kejujuran, serta kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.

Seri Paduka juga menasihati mereka supaya menjadi seorang ketua yang sentiasa menitikberatkan disiplin, melatih anggota, dan sentiasa menghargai serta menjaga kebajikan mereka, selain merakam penghargaan kepada ibu bapa yang sudi membenarkan anak kesayangan mereka berkhidmat dalam ATM.

Majlis turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.-BH Online