Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Perasmian Kompleks Arena Seremban, di sini, hari ini berjaya merealisasikan lima komponen gaya hidup moden bandaraya Seremban yang mengabungkan elemen perniagaan, hospitaliti, gaya hidup dan komuniti di bawah satu alamat.

Kompleks berkenaan dilengkapi stadium tertutup bertaraf dunia setinggi tujuh tingkat dengan kapasiti tempat duduk 3,000 selain Arena Premier Hotel, Menara Karisma dan Arena Residences.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kompleks itu dibangunkan Karisma Perwira Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar RM250 juta.

Katanya, Kompleks Arena Seremban adalah contoh terbaik bagaimana sektor swasta dapat memainkan peranan penting dalam membantu memperkukuhkan ekosistem pembangunan Negeri Sembilan secara keseluruhan.

“Ia salah satu projek pembangunan ikonik yang akan memperkukuhkan lagi landskap pembangunan bandar Seremban,” katanya ketika merasmikan kompleks berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Bukan Eksekutif Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dan Pengasas merangkap Timbalan Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Seri Lee Tian Hock. Tian Hock adalah juga pengasas Lee Tian Hock Yong Chou Lian (L) Foundation yang memiliki Karisma Perwira.

Aminuddin berkata Kompleks Arena Seremban dibangunkan secara bersepadu di atas tapak seluas 4.45 ekar dengan jumlah ruang binaan melebihi 650,000 kaki persegi.

“Seperti yang dimaklumkan, pembangunan ini merangkumi lima komponen utama yang saling melengkapi iaitu Karisma Arena, Arena Premier Hotel, Menara Karisma, Arena Square dan Arena Residences.

“Gabungan ini bukan sahaja memperlihatkan pendekatan pembangunan bersepadu yang moden, malah menjadikan kompleks ini sebagai nadi baharu bagi aktiviti sukan, pelancongan, perniagaan, gaya hidup serta perkembangan komuniti di Seremban,” katanya.

Aminuddin berkata lebih membanggakan, Karisma Arena sebuah stadium tertutup serba moden berkapasiti 3,000 tempat duduk, bakal menjadi gelanggang rasmi kepada pasukan NS Matrix Basketball, pasukan kebanggaan negeri yang mengharumkan nama Negeri Sembilan dipersada sukan bola keranjang.

Di samping itu, katanya, Kompleks Arena Seremban turut berpotensi untuk menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa seperti kejohanan sukan dalaman, pertandingan e-sukan, ekspo kecergasan, seminar korporat, konsert dan pelbagai lagi acara komuniti.

Menurutnya, pembangunan ini amat bertepatan dengan aspirasi dan hala tuju Kerajaan Negeri Sembilan dalam merangka pembangunan yang bersifat inklusif, mampan dan berdaya saing.

“Ia seiring dengan agenda besar kerajaan negeri seperti pelaksanaan projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dijangka bakal memberi kesan ekonomi yang besar dalam memacu kemajuan Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Tian Hock berkata berkata Kompleks Arena Seremban mencerminkan komitmen jangka panjang pihaknya untuk menyumbang kepada pembangunan Negeri Sembilan.

“Ini bukan sekadar pembangunan hartanah, tetapi sebuah hab komuniti yang direka untuk menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat, sama ada dalam urusan perniagaan, rekreasi, kebudayaan atau sosial,” katanya.

Majlis perasmian turut dimeriahkan dengan konsert percuma Sinaran Karisma yang menampilkan ikon muzik tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Ara Johari dan Tedd Chen, acara yang turut mendapat sambutan hangat melalui tempahan tiket dalam talian.-BH Online