Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak menyalakan api permusuhan sehingga menggugat keamanan negara.

Tegas baginda, nilai perpaduan erat yang dicapai di negara ini adalah melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, keadilan kuasa, tanggungjawab dan muafakat.

Kepada pemimpin masyarakat pula, Seri Paduka menasihatkan mereka agar tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi.

Tegas Yang di-Pertuan Agong, pentas dakwah sebagai medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat membawa agenda politik kepartian.

“Sebaliknya, mengislamkanlah politik demi kepentingan negara. Ini bermakna, urus tadbir negara mesti berpaksikan syariat Islam, bukan terikut-ikut dengan fahaman sekular atau liberal,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat kebangsaan 1447H/2025M, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Ibrahim bertitah, Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencukupi seluruh aspek kehidupan.

“Jangan ada pihak yang memperalatkan agama untuk kepentingan parti atau menyebarkan fitnah dan kebencian yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat. 

“Sejak dahulu lagi saya tegaskan, pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat membawa agenda politik kepartian. Marilah kita bersama menjaga kesucian agama Islam dan mempertahan perpaduan ummah yang harmoni,” titah baginda.

Seri Paduka turut mengajak anggota pentadbiran dan kepimpinan negara supaya mencontohi sifat Rasulullah SAW yang berhikmah, adil dan tidak menzalimi yang lemah.

“Marilah kita berganding bahu membina sebuah negara yang bukan sahaja berjaya di mata dunia, tetapi juga diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda juga mengajak seluruh umat Islam supaya memahami tanggungjawab besar dalam membina sebuah tamadun yang berteraskan nilai Islam. 

“Pembangunan sebenar bukan sekadar dari segi fizikal, tetapi turut mencakupi aspek akhlak, ilmu, dan keinsanan. Orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka dijanjikan kedudukan tinggi di sisi-Nya. 

“Mereka inilah golongan yang benar-benar memperoleh kemenangan. Hijrah Rasulullah ke Madinah adalah satu perjalanan bersejarah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Piagam Madinah, iaitu dokumen penting yang mendasari prinsip keadilan, muafakat dan kepelbagaian,” titah baginda.

Sambutan kali ini mengangkat tema ‘Membangun Ummah MADANI’, yang menyeru umat Islam supaya mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk membina masyarakat lebih bertamadun, inklusif dan seimbang dari segi kerohanian serta fizikal disamping membina negara MADANI.-BH Online