Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Mangsa letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya diberi kelonggaran melantik kontraktor bebas bagi menjalankan kerja pembinaan semula kediaman yang terjejas akibat insiden terbabit.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kemudahan berkenaan diberi kepada pemilik rumah dengan anggaran kerosakan keseluruhan tidak melebihi RM30,000.

Beliau berkata, pemilik terbabit kemudian dibenarkan untuk mengemukakan tuntutan bagi kerja baik pulih terbabit kepada kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, katanya, kerja baik pulih rumah yang mengalami kerosakan dengan nilai melebihi RM30,000 akan diuruskan kontraktor ditetapkan kerajaan negeri, sama ada Sime Darby Property atau Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Tiada perbezaan (bagi kerja pembinaan semula rumah terjejas dalam insiden terbabit). Semua menggunakan kaedah tuntutan sama. 

“Pembinaan semula dan pembaikan kerosakan melebihi RM30,000 di Putra Heights dikendalikan Sime Darby selaku pemaju kawasan. 

“Kerosakan kecil di bawah RM30,000, pemilik rumah diberi ruang melantik kontraktor sendiri dan mengemukakan tuntutan berdasarkan spesifikasi disediakan JKR (Jabatan Kerja Raya).

“Bagi (rumah yang terjejas di) Kampung Kuala Sungai Baru pula, SPNB di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan tugas ini (baik pulih kediaman rosak),” katanya kepada BH, hari ini.

BH sebelum ini, melaporkan kira-kira RM40 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi kerja baik pulih rumah yang terjejas dalam insiden dengan proses itu bermula akhir April lalu.

Proses baik pulih itu membabitkan tiga kategori iaitu kerosakan kecil dianggarkan di bawah RM30,000 serta dua kaedah lain yang ditetapkan.

Dalam kejadian 1 April lalu, 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 lagi separa musnah, 57 kediaman terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Sementara itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, kerja baik pulih rumah terjejas insiden itu dianggarkan siap dalam jangka masa berbeza.

“Ada yang sudahpun siap bagi kerosakan kecil. Bagi kerosakan kepada struktur rumah, dijangka mengambil tempoh 12 bulan sehingga 18 bulan, bergantung kepada skala kerosakan,” katanya.-BH Online