Dua penerbangan pulang jemaah haji ke tanah air hari ini, dijadualkan semula berikutan perkembangan semasa operasi penerbangan di Asia Barat.
Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan berkata, penjadualan semula dilakukan atas nasihat keselamatan syarikat penerbangan.
Katanya, penerbangan yang dijadual semula ialah KT043 (MH8301) jam 5.10 pagi waktu tempatan dari Madinah dan KT034 (MH8291) Jeddah, jam 6.40 pagi.
“Kedua-dua penerbangan sewa khas haji itu ditunda sekurang-kurangnya 24 jam dari jadual asal.
“Penjadualan baharu sedang disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk penyelarasan trafik udara dan keperluan logistik,” kata kenyataan itu.
Katanya, semua jemaah terbabit ditempatkan sementara di hotel sekitar Jeddah dan Madinah bagi memastikan kebajikan serta keselesaan mereka.
“Penyelarasan di lapangan terbang giat dijalankan antara pihak syarikat penerbangan dan TH bagi memastikan kelancaran urusan logistik jemaah.
“Setakat ini, sebanyak 39 penerbangan sudah tiba di tanah air dengan baki 61 penerbangan menyusul,” kata kenyataan itu.
Katanya, sebarang perkembangan lanjut termasuk perubahan jadual oleh syarikat penerbangan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-BH Online