Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING :Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dunia perlu bersikap adil dalam menangani konflik di Asia Barat, khususnya berhubung serangan terhadap Iran dan penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin.

Beliau berkata, Malaysia menggesa semua pihak menghentikan keganasan dan memberi keutamaan kepada nyawa manusia serta prinsip keadilan sejagat.

“Untuk perdamaian sebenar, Israel harus ditekan supaya tidak bersikap provokatif dan ganas menyerang negara lain. 

“Bila terus menyerang dan membunuh orang, tentu ada tindak balas dari Iran,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Dengan Pimpinan PKR Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas serangan terbaru terhadap Iran dan kemungkinan tindak balas negara itu, Anwar menekankan bahawa Malaysia mengambil pendirian yang adil serta konsisten dalam mempertahankan hak asasi manusia.

“Di Gaza, wanita dan kanak-kanak terus dibunuh. Kini Iran pula diserang dan mereka memilih untuk melawan. 

“Campur tangan dari kuasa luar termasuk Amerika Syarikat hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang ketegangan yang membawa kepada gangguan di Selat Hormuz juga boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dunia. 

Namun, beliau menegaskan bahawa perkara yang paling utama adalah keselamatan nyawa manusia dan menegakkan keadilan.

“Sekurang-kurangnya, hentikan keganasan ini, jangan hanya meminta Iran supaya tidak bertindak balas, tetapi dalam masa yang sama membenarkan tindakan melampau terhadap mereka,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa suara negara merdeka dan berdaulat kini semakin tenggelam dalam isu keadilan antarabangsa.

“Malaysia terpaksa bersuara, jangan sampai negara berdaulat tidak mampu bersuara tentang hak asasi dan keadilan,” katanya.-BH Online