Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Bas sewa khas yang terbabit dalam nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuhraya Timur-Barat semalam tidak dilengkapi tali pinggang keledar penumpang.

Mengesahkan perkembangan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia berikutan kenderaan itu dibuat pada 2013, tujuh tahun sebelum peraturan penguatkuasaan pemasangan dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya sedang meneliti cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres selain penggunaan teknologi seperti pengehad kelajuan atau ‘speed limiter’ dan kamera video dalam kenderaan untuk dipasang pada kenderaan berat

“Satu perkara yang saya ingin tegaskan ialah semua bas baharu sekarang ini telah pun dimandatorikan untuk memasang tali pinggang iaitu bagi semua bas yang dibina selepas 2020. Wajib ada tali pinggang.

“Cuma dalam insiden yang berlaku di Lebuh Raya Timur-Barat, bas itu berumur 12 tahun dan ia dibina pada 2013, jadi tiada tali pinggang (penumpang),” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis CruiseWorld Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang merangka dasar baharu termasuk pelaksanaan mandatori pemasangan peralatan pengehad kelajuan pada kenderaan berat sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

Polisi berkenaan katanya, sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk mekanisme bagi menutup sebarang ruang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.

Mengulas lanjut, Loke mengakui pelaksanaan dasar keselamatan jalan raya sering berdepan kritikan pelbaga pihak sama ada terlalu tegas atau tidak cukup tegas.

Namun beliau menggesa semua pihak dan anggota masyarakat termasuk pengusaha pengangkutan bersama-sama memainkan peranan demi menjaga keselamatan terutamanya pengguna jalan raya.

“Kita bukan tiada peraturan atau undang-undang. Ada orang kata, kita tiada undang-undang (sedangkan) ada undang-undang mewajibkan pemasangan dan juga pemakaian tali pinggang.

“Tetapi cabaran dia adalah pematuhan bagaimana kita pantau pada setiap masa. Saya menerima bahawa semua orang bimbang dan prihatin terhadap isu keselamatan jalan raya,” katanya.

Loke mengakui beliau juga sangat khuatir dan sangat terkesan dengan apa yang berlaku seperti nahas mengorbankan 15 pelajar UPSI di Lebuhraya Timur-Barat semalam. 

Beliau meminta semua pihak termasuk masyarakat supaya bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam perkara ini bukannya menuding jari kepada sesiapa.

“Apabila kita melaksanakan sesuatu itu biar ada sokongan semua pihak, juga pemain-pemain industri dan pengusaha. Jangan apabila kita letakkan sesuatu perkara yang wajib, mereka pula kata terbeban ada kos tambahan dan sebagainya tetapi apa yang kita nak laksanakan ini demi keselamatan serta nyawa manusia.

“Jadi umpamanya (arahan) pemasangan tali pinggang, sudah pun diwajibkan tetapi pematuhan pematuhan daripada pihak pengusaha dan juga penumpang. Perkara-perkara ini memang akan kita lihat semula bagaimana untuk melaksanakannya dengan lebih berkesan.

“Sekarang ini ada sistem sensor dan sebagainya, kalau tak pakai akan ada bunyi dan sebagainya dan perkara-perkara seperti ini. 

“Kita akan teliti dengan lebih terperinci supaya wajibkan pemandu kena pastikan setiap penumpang memakai tali pinggang keledar jika tidak lenderaan itu tak boleh bergerak. Jadi perkara-perkara seperti ini cabarannya ialah pematuhan,” katanya.-BH Online