Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha menangani isu duka lara guru termasuk membenarkan permohonan pertukaran pihak terbabit dibuat tanpa syarat bagi yang berkhidmat cukup dua tahun berbanding tiga sebelum ini, kata menterinya, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pengurangan tempoh itu diambil atas dasar empati dan keprihatinan pihaknya terhadap isu berkaitan aduan pertukaran yang perlu diselesaikan.

Katanya, kementeriannya menetapkan tiga prinsip asas pertukaran guru iaitu membabitkan kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.

“Kena ambil maklum begini (isu guru duka lara). Bila kita umumkan perkara itu, (pengurangan tempoh) ia terbit daripada rasa empati dan juga keprihatinan kita yang tinggi terhadap isu berkaitan aduan pertukaran tersekat selama ini.

“Jadi, kita (cuba) selesaikan. Daripada tempoh 36 bulan (tiga tahun) kita kurangkan kepada tempoh dua tahun yang dia (guru) boleh mohon tanpa syarat lain.

“Namun, kita juga kena ambil perhatian berkaitan dengan isu-isu yang tidak boleh menjejaskan ekosistem pendidikan seperti melihat kepada kekosongan jawatan di tempat terbabit,” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) yang menyatakan isu guru duka lara sukar ditangani sepenuhnya berikutan berlaku ketidakseimbangan dengan permohonan pertukaran membabitkan beberapa negeri jauh lebih tinggi berbanding kekosongan semasa.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon menyatakan demikian ketika menjadi panel `Podcast BH: Borak Hari Ini’ bertajuk ‘Tiada Lagi Duka Lara Guru’ yang disiarkan di YouTube BH Online, semalam.

Situasi ini direkodkan di beberapa negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Putrajaya dengan jumlah guru memohon masuk lebih tinggi berbanding ingin berpindah keluar ke negeri lain.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya memberi jaminan akan menguruskan permohonan pertukaran guru dengan sebaiknya dan meminta semua bersabar.

“Proses guru berjauhan, kita utamakan dulu di samping alasan lain termasuk isu kesihatan dan keselamatan.

“Ini semua faktor yang akan kita berikan pertimbangan dalam menyusun keperluan pendidikan dan juga permohonan pertukaran terbabit. Maka kita minta cikgu bersabar dan kita akan uruskan semua dengan baik,” katanya.

Ketika sambutan Hari Guru ke-54 di Kuching pada 16 mei lalu, Fadhlina mengumumkan enam khabar gembira untuk warga pendidik termasuk membenarkan permohonan pertukaran guru dibuat tanpa syarat bagi yang berkhidmat cukup dua tahun.-BH Online