Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Langkah PETRONAS mengurangkan 5,000 tenaga kerjanya tiada kaitan dengan isu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), sebaliknya ia berpunca daripada cabaran global dalam industri minyak dan gas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata syarikat minyak dan gas negara itu perlu melakukan proses penstrukturan susulan penurunan harga minyak mentah dunia.

“PETRONAS perlu melihat semula keseluruhan operasinya. Saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan mereka untuk mendapatkan taklimat mengenai perkara itu dan bagi memastikan jumlah pemberhentian pekerja dapat dikurangkan, jika tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis korban Aidiladha di Masjid Darul Husni Warrahmah di Taman Hussien, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilaporkan berkata, kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau lebih 5,000 orang akan dikurangkan susulan penstrukturan semula syarikat itu secara menyeluruh.

Langkah itu katanya, terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah dengan semua pihak yang terbabit dengan penstrukturan semula itu akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menurutnya, kumpulan itu menyasarkan operasi yang lebih kecil dan tangkas walaupun harga minyak mencecah paras tertinggi AS$100 setong (AS$1 = RM4.23).

Berdasarkan keadaan sebelum ini apabila lapangan minyak mengecil, margin keuntungan sebelum cukai syarikat itu adalah pada kira-kira 35 hingga 40 peratus.

Anggaran peruntukan perbelanjaan PETRONAS adalah berdasarkan minyak Brent pada sekitar AS$75 (RM318.41) hingga AS$80 (RM338.20) setong.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, kebanyakan daripada 5,000 kakitangan PETRONAS yang akan dikurangkan secara berperingkat itu sepanjang tahun depan adalah berstatus kontrak.-BH Online