KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang mempertimbang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dijadual bersara 30 Jun depan.
Dalam jawapan ringkas kepada wartawan, Perdana Menteri memaklumkan perkara itu sedang diteliti.
Tengku Maimun, wanita pertama yang menyandang jawatan berkenaan dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.
Kelmarin, ketika ditanya mengenai lanjutan perkhidmatannya, Tengku Maimun mengesahkan beliau belum menerima sebarang tawaran untuk menyambung semula jawatan itu.
Selain Tengku Maimun, dua lagi hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan juga belum menerima tawaran berkenaan.
Menurut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, Hakim Mahkamah Persekutuan boleh berkhidmat sehingga umur 66 tahun, namun tempoh perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan sehingga enam bulan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.-BH Online