Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI, 22 Mei – Satu Mesyuarat Kecemasan Krisis melibatkan pengendali air, Ranhill SAJ diadakan pagi tadi, bagi membincangkan penyelesaian isu gangguan bekalan air, melibatkan beberapa kawasan di daerah Johor Bahru, Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri sedang mendapatkan bantuan tangki air dari daerah dan negeri lain bagi membekalkan air ke kawasan terjejas.

“Kedua, usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan tangki-tangki air. Masalah utama di Johor Bahru ialah, walaupun tangki ada, air tidak dapat disalurkan ke kawasan-kawasan terlibat kerana ketiadaan bekalan air.”

“Oleh itu, kita sedang berusaha mendapatkan bantuan dari daerah-daerah lain, dan insya-Allah dari negeri-negeri lain juga, bagi menghantar tangki-tangki air ke semua kawasan yang terjejas,” katanya sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bermula di Kota Iskandar.

Selain itu, bekalan air minuman turut disalurkan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk setiap rumah di kwasan terjejas.

Langkah tersebut diambil susulan kegagalan fungsi enam pam air yang sepatutnya pulih semalam.

Semalam, kira-kira 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan Johor Bahru dilaporkan mengalami gangguan bekalan air, akibat kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.-Berita RTM