Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya ‘kemelut’ yang tercetus membabitkan pemain berstatus warisan dalam skuad bola sepak negara sepatutnya tidak dijadikan polemik.

Menurut Hannah, pemain warisan juga adalah individu yang memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia yang melayakkan mereka menyarung jersi kebangsaan.

“Kalau pemain warisan boleh memperkasakan permainan pasukan kebangsaan, saya berasa tak salah kerana mereka juga rakyat Malaysia.

“Kita mesti beri sokongan kepada mereka dan ini juga antara perjuangan kita di Parlimen baru-baru ini dalam meminda Perlembagaan Persekutuan supaya wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara boleh mewariskan kerakyatan kepada anak mereka.

“Saya rasa semua perbincangan di luar ini kurang membantu pasukan kita. Sekarang ini yang paling kritikal adalah memberi sokongan dan memastikan pemain tahu bahawa negara berdiri di belakang mereka untuk kejohanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Liga Sepak Takraw Negara (STL), hari ini.

Terdahulu, legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh mempersoal kehadiran ramai pemain naturalisasi dan warisan dalam skuad kebangsaan yang dianggap menjejaskan peluang bakat tempatan mewakili negara.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyuarakan rasa kurang senang terhadap kritikan yang dilemparkan ketika usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan skuad kebangsaan termasuk dengan kehadiran pemain warisan.-BH Online