PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini pada fasa akhir persiapan aspek keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata seramai 7,227 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan kelancaran acara, selain lebih 2,000 pegawai imigresen ditempatkan di pintu masuk utama seluruh negara.
“KDN diberikan mandat oleh Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan dua aspek penting iaitu fasilitasi urusan imigresen dan operasi keselamatan sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan kelancaran proses keluar masuk, bukan hanya pemeriksaan dokumen seperti pasport dan dokumen perjalanan, tetapi juga urusan bagasi. Ini akan menjadi penanda aras prestasi kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, antara pintu masuk yang dikenal pasti untuk menyambut ketibaan tetamu negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Bunga Raya dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang akan menerima ketibaan beberapa pesawat khas.
Katanya, bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelbagai langkah kawalan trafik akan dilaksanakan bagi menguruskan pergerakan kenderaan rasmi dan delegasi asing, terutama dengan kehadiran pemimpin ASEAN, wakil Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Perdana Menteri China.
“Latihan simulasi akan dijalankan bermula Selasa ini. Sidang kemuncak secara rasmi bermula dengan ketibaan delegasi Selasa ini, manakala sesi berlangsung dari 26 hingga 28 Mei,” katanya.
Saifuddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi utama pada minggu lalu dan menerima taklimat lengkap berhubung persiapan termasuk aspek keselamatan.-BH Online