KAZAN (TATARSTAN): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama bertemakan digitalisasi pada Forum Ekonomi Antarabangsa Russia-Dunia Islam ke-16 (KazanForum 2025), sekali gus menjadi acara kemuncak, memasuki hari terakhir lawatan rasmi beliau ke Persekutuan Russia.
Anwar yang tiba di sini semalam, dijangka menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Digitalisation: New Reality and Additional Opportunities for Expanding Cooperation’ pada sesi pleno kira-kira jam 2.30 petang (waktu Kazan).
KazanForum 2025 adalah platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Russia dan negara Islam.
Terdahulu, Perdana Menteri memulakan jadualnya yang padat seawal jam 9 pagi dengan menyertai forum ekonomi berkenaan, di Kazan Hi-Technology Park.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berpeluang melawat sekitar taman teknologi itu yang dibangunkan pada 2009 dan menjadi taman teknologi pertama di Russia yang terbabit dalam pembangunan syarikat bagi bidang teknologi maklumat.
Kazan yang terletak lebih 830 kilometer dari Moscow atau lebih lapan jam perjalanan menerusi jalan darat, adalah bandar terbesar dan ibu negeri Republik Tatarstan.
Ia turut dikenali sebagai bandar industri, komersial dan pusat kebudayaan utama orang Tatar.
Sementara itu, Perdana Menteri juga dijangka menghadiri majlis makan tengah hari dihoskan Perdana Menteri Republik Tatarstan, Aleksei Pesoshin di Tatarskaya Usadba.
Anwar kemudian dijadualkan mengadakan sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi di Persekutuan Russia dan akan berangkat pulang ke Malaysia pada jam 6 petang (waktu Kazan).
Dalam lawatan rasmi itu, Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada 2024, Russia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Russia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti serta makanan diproses, manakala import dari Russia terutama produk petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia.– BERNAMA