PUTRAJAYA: Pekerja asing kini dibenarkan untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini, hari ini.
“Sebelum ini, kerajaan hanya membenarkan pertukaran majikan dalam sektor penggajian yang sama sahaja dengan syarat sama ada penstrukturan syarikat, penutupan syarikat, pembesaran syarikat atau atas kelulusan suatu jawatankuasa yang dikendali oleh Jabatan Tenaga Kerja.
“Dengan keputusan ini, pekerja asing dibenar untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Saifuddin mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Mesyuarat itu berlangsung hampir dua jam dan turut dihadiri beberapa Menteri Kabinet antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan pegawai kerajaan.
Saifuddin berkata, perubahan dasar itu akan memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada kerajaan, malah majikan dan pekerja asing.
“Tambahan, ia adalah amalan baik yang disarankan oleh organisasi antarabangsa berkaitan buruh dan diguna pakai oleh negara maju yang lain,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, mesyuarat terbabit juga bersetuju dengan syor Jabatan Imigresen Malaysia supaya perihal pengurusan memo Periksa Keluar (Check Out Memo – COM) pekerja asing diperkasa.
Katanya, dengan persetujuan itu, majikan wajib untuk hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing seperti mana majikan mengurus kemasukan pekerja asing.
“Kekhilafan atau kegagalan majikan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan sekatan urusan imigresen lain,” katanya.
Justeru, beliau memohon semua pihak supaya cakna akan mengenai dasar kerajaan dan mematuhi peraturan yang digariskan tanpa gagal.
“Kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang berkuat kuasa,” katanya.-BH Online