Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pintu rundingan dengan parti tempatan di Sabah selain Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) belum ditutup rapat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana pihaknya masih terbuka untuk ‘duduk semeja’ berunding dengan parti tempatan lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri itu.

Mengenai cakap-cakap bahawa agihan kerusi sudah disepakati iaitu BN diperuntukkan 40 kerusi dan PH pula 33 kerusi, Presiden UMNO itu menegaskan keputusan itu adalah pramatang kerana rundingan masih lagi berlangsung.

“Kami telah membuat keputusan bahawa pertamanya kerjasama antara BN dan PH mesti diperkuatkan di Sabah. Kedua, keputusannya ialah BN, PH plus plus plus.

“Jadi kita serahkan kebijaksanaan kepada kepimpinan BN di Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan paling bijak bagi menentukan dominasi kesepakatan ini untuk PRN17 di Sabah. 

“Kita tidak tutup pintu. Prinsip kita, kita tidak buka pintu seluas-luasnya dan tidak tutup serapat-rapatnya. Jadi ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama politik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Deklarasi Konvensyen Francais ASEAN dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya, Datuk Seri R Ramanan.

Menjawab keterbukaan BERSATU untuk bekerjasama dengan UMNO, Ahmad Zahid berkata ‘hasrat’ itu sudah banyak kali beliau dengar.

Beliau juga menyifatkan apa yang diperkatakan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu seperti tercari-cari satu realiti baharu untuk pastikan BERSATU terus relevan dalam landskap politik negara.

“Banyak kali sudah saya dengar. Saya kira beliau mahu mencari satu realiti yang baharu dengan keadaan di mana rakan kongsi politiknya telah bermain kayu tiga.

“Dan saya pula fikir apa yang berlaku pada UMNO sedang berlaku pada parti ini,” katanya.-BH Online