PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengambil tindakan menyeluruh merangkumi semakan dan meneliti prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dalam kampus susulan kemalangan maut membabitkan seorang penuntut wanita Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menteri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata langkah itu diambil bagi memastikan insiden seumpamanya tidak berulang.
“Ya (KPT) memandang serius bagi setiap kejadian kemalangan membabitkan pelajar kita.
“Dalam hal ini (tindakan diambil) bukan hanya membabitkan kawasan UUM, ia membabitkan semua universiti, kita tidak memandang ringan perkara sebegini.
“Susulan itu saya sudah mengarahkan supaya siasatan menyeluruh dibuat termasuk dari segi prosedur (dilaksanakan) syarikat dan sebagainya,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di perkarangan bangunan kementerian itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim.
Sabtu lalu, mahasiswa UUM, Manarina Hasya Muhammad Karim, 22, maut selepas dilanggar bas di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok, jam 8.45 pagi.
Allahyarham Manarina parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Mengulas lanjut, Zambry berkata UUM turut menubuhkan dua jawatankuasa siasatan bagi melihat secara menyeluruh semua aspek berkaitan kemalangan itu.
“Ini (penting) bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang pada masa depan dan memastikan supaya prosedur (ditetapkan) dipatuhi sebaiknya,” katanya.-BH Online