Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegur semua pihak khususnya ahli politik, agar tidak menggunakan ayat suci al-Quran serta hadis sebagai modal di pentas ceramah terutama ketika kempen pilihan raya.

Beliau menegaskan perbuatan seumpama itu demi mencapai matlamat perjuangan politik, harus dielakkan, lebih-lebih lagi sekiranya yang memerlukan rujukan pihak berkuasa seperti Jabatan Mufti atau badan agama di negeri-negeri.

“Pada sayalah, kalau ia membabitkan pandangan hukum, sebaik-baiknya elak (berlaku) sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Jika membabitkan satu pandangan hukum, boleh merujuk Jabatan Mufti dan (badan agama) negeri-negeri sebab ini pihak yang berautoriti.

“Cuma, jangan menyalahgunakan untuk kepentingan politik, ini yang paling utama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan merasmikan ibu pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pemimpin parti politik menggunakan agama sebagai bahan kempen di pentas ceramah, terutama bagi meraih sokongan pengundi.

Terdahulu, Mohd Na’im dalam hantaran melalui Facebooknya, menggesa supaya tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung keutamaan menunaikan tanggungjawab mengundi berbanding mengerjakan ibadah haji.

Beliau sekali gus meminta pihak terbabit mementingkan ilmu dan adab dalam membuat kenyataan berkaitan hal-hal agama.

Semalam, media melaporkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilapor menyuarakan kekesalan dengan kaedah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang masih menyentuh isu-isu sensitif, termasuk isu kaum, agama dan institusi raja (3R).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dipetik berkata, kempen seharusnya menumpukan kepada kelebihan parti dan calon, bukan merendah-rendahkan pihak lain.-BH Online