Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengkaji semula aspek pedagogi atau teori mengajar dalam bidang pengajian tertentu di universiti itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata aspek itu perlu dititikberatkan bagi mengelak timbulnya perkara yang menyentuh sensitiviti tertentu ketika melaksanakan tugasan akademik seperti kes tular membabitkan pelajar UiTM Dengkil baru-baru ini.

Dalam kes itu, beberapa foto tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu dipercayai pelajar UiTM Kampus Dengkil mengenakan jubah mirip kumpulan ekstremis Ku Klux Klan (KKK).

Zambry ketika mengulas lanjut berkata, dalam isu itu KPT menyerahkan sepenuhnya kepada UiTM untuk menjelaskan kepada masyarakat bagi menjernihkan keadaan.

“Mereka lebih maklum apa perkara yang boleh, sebab itu UiTM membuat penjelasan kerana benda itu berlaku di situ (kampus bawah UiTM).

“Kalau menteri hendak masuk campur semua hal, itu perkara tidak matang… paling mustahak, apabila ada perkara dimainkan, menjadi tanggungjawab UiTM untuk menjelaskan kepada masyarakat kerana ada pihak membuat interpretasi,” katanya kepada pemberita.

Susulan isu terbabit, UiTM menjelaskan penggunaan pakaian menyerupai kostum tertentu oleh sekumpulan pelajar di kampus Dengkil itu sebahagian daripada tugasan akademik.

Berdasarkan kenyataan UiTM, ia tugasan pelajar Pusat Asasi UiTM bagi sesi pembentangan kursus ‘Contemporary Global and Legal Issues.’null

Terdahulu, Zambry menghadiri Forum Ilmuan Malaysia MADANI siri lima yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Hadir sama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tambah Zambry, perkara itu tidak boleh dilihat hanya dari satu segi sahaja tetapi secara menyeluruh berdasarkan laporan sebenar.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan tugasan akademik sebegitu bukanlah perkara baharu sebaliknya sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Ada program dibuat dalam bentuk pelbagai yang dikatakan sebelum ini, contohnya berkaitan isu aparteid yang mereka buat dalam bentuk sama.

“Tetapi waktu itu tidak dimainkan dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan tertentu.

“Namun dalam kes itu, apa yang dikatakan UiTM, ia membabitkan penuntut asas yang memerlukan (tugasan) bersifat emersif,” katanya.-BH Online