Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia perlu meneruskan fokus untuk meningkatkan keupayaan industri dalam negara bagi mendepani suasana ekonomi global yang mencabar dan tidak menentu. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pendekatan ini bukan bermakna Malaysia mengambil langkah berkecuali terhadap perubahan yang berlaku di luar seperti isu tarif tambahan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara dagangnya dan perang dagang antara China dan AS.

“Kalau kita lihat dari segi benda itu (tarif AS), ia bertukar setiap hari, ada (pengumuman) yang terbaru. Jadi yang penting, kita fokus apa yang kita mahu buat. Macam industri (tempatan) yang ada, kita fokus untuk meningkatkan lagi (keupayaannya).

“Tahun lalu, Perdana Menteri sudah melakukan banyak lawatan ke negara lain, untuk meningkatkan perdagangan dengan rakan dagangan, usaha itu akan menolong kita pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas hadir ke Majlis Rumah Terbuka Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya, hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kira-kira 3,000 tetamu lain. 

Mengulas lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir semalam, Amir menjelaskan manfaat tetap diraih Malaysia, terutama dalam meningkatkan nilai dagangan dengan negara kuasa besar itu.

“Kita ada peluang untuk meningkatkan perdagangan dan (hubungan baik dengan) China ini, dia bagi kita keseimbangan (antara kerjasama Malaysia dengan negara kuasa besar dunia) yang lebih baik. 

“Tumpuan kerajaan kini juga untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik dan ini akan meningkatkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara. Jadi yang penting fokus apa yang kita mahu buat. Perkara lain kita uruskan,” katanya.

Kelmarin, Malaysia dan China memeterai 31 memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi pelbagai bidang kerjasama strategik, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), ekonomi digital, pelancongan dan pendidikan.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian disaksikan oleh Anwar dan Jinping sempena lawatan kenegaraan tiga hari Presiden China ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Di bawah Kementerian Luar, tiga dokumen penting telah ditandatangani antara Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar China, Wang Yi.

Satu lagi perjanjian penting ialah pengecualian visa timbal balik untuk pemegang pasport biasa dan pasport urusan rasmi yang dimeterai antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Wang Yi.

Dalam bidang perdagangan, tiga MoU ditandatangani meliputi perdagangan dalam perkhidmatan, standardisasi kerjasama serta penambahbaikan inisiatif ‘Dua Negara, Dua Taman’ Malaysia-China.

Kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian memperkukuh kerjasama dalam sektor rel, melalui Kementerian Pengangkutan yang diwakili oleh Menteri Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Dalam sektor digital, dua MoU antara Kementerian Digital dan Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Kebangsaan China (NDRC) dimeterai, membabitkan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan dan ekonomi digital.

Kementerian Pendidikan turut menandatangani MoU dengan Presiden dan Ketua Pengarang Kumpulan Media China (CMG), Shen Hai Xiong, khusus dalam bidang terjemahan dan penerbitan karya klasik.

MoU lain turut membabitkan kerjasama dalam bidang pertanian dan keselamatan makanan, sains dan teknologi, pendidikan tinggi serta pelancongan, seni dan budaya.-BH Online