Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan akan mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya di ASEAN sebelum menganjurkan sebarang mesyuarat bagi mencari penyelesaian terhadap isu Myanmar.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN berkata, komitmen negara anggota itu mengenai isu Myanmar ialah bersetuju untuk mengadakan perbincangan berterusan, secara inklusif dengan semua pihak berpandukan Konsensus Lima Perkara (5PC).

“Saya perlu berunding dengan rakan sejawatan saya, pemimpin ASEAN. Oleh kerana komitmen ASEAN adalah pembabitan berterusan (semua negara anggota), konsensus lima perkara dan perbincangan inklusif dengan semua pihak, maka saya akan bawa semula ke ASEAN,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Kewangan di Putrajaya, yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hasil pertemuannya dengan Majlis Pentadbiran Negeri (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, mereka sudah menyatakan komitmen untuk mengelak sebarang peningkatan pertempuran di negara itu.

Beliau berkata, langkah pemting ini bagi memastikan tumpuan terhadap usaha kemanusiaan di Myanmar dilaksanakan di tengah-tengah konflik yang masih berterusan.

“Semangat kedua-dua MPS dan NUG ialah keutamaan mesti dalam usaha kemanusiaan serta pembinaan semula (negara). Sementara itu, mereka akan melakukan apa saja yang perlu untuk mengelak sebarang lanjutan pertempuran,” katanya. 

Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau mengadakan pertemuan maya selama 40 minit bersama U Mahn Win Khaing Than daripada NUG Myanmar.

Pertemuan itu menyentuh keperluan kemanusiaan yang semakin mendesak dan usaha memastikan bantuan sampai kepada kumpulan paling terjejas, selain menekankan kepentingan meneruskan dialog sebagai jalan ke arah perdamaian.-BH Online