Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Permohonan bantuan kewangan berbentuk geran padanan sehingga RM100,000 di bawah Business Accelerator Programme untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) kembali dibuka mulai 7 April lalu dengan syarat kelayakan yang lebih mudah. 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata sebagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat, syarat kelayakan yang menetapkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun sahaja yang layak memohon I-BAP sebelum ini sudah dimansuhkan.

“Program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp) berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan syarikat milikan kaum India menerusi khidmat nasihat perniagaan dan sokongan kewangan. 

“Bantuan di bawah I-BAP merangkumi perbelanjaan untuk perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta produktiviti dan kecekapan pengeluaran, adaptasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan eDagang, penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pensijilan produk serta pengiklanan dan promosi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramanan berkata, susulan sambutan yang menggalakkan dalam kalangan usahawan India, permohonan untuk I-BAP sudah dibuka semula secara dalam talian. 

“Selain tiada lagi ketetapan had minimum jumlah jualan tahunan, I-BAP berkenaan dipermudahkan dengan keutamaan diberi kepada projek yang sudah selesai dilaksanakan dan membuat pembayaran kepada pembekal bermula 1 Jun 2024. 

“Bagi usahawan India yang ingin memohon bantuan di bawah I-BAP berkenaan, mereka perlu mempunyai Sijil Akuan Status PMKS yang sah tempoh dan pemohon yang memohon projek berkaitan adaptasi ESG perlu menjalani Penilaian ESG PMKS.

“Bantuan bersasar khusus untuk usahawan India melalui I-BAP membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan pembangunan komuniti India sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.

“Melalui prinsip kesaksamaan dan keterangkuman ditekankan di bawah Malaysia MADANI, kerajaan yakin pendekatan berkenaan berupaya mengurangkan jurang ekonomi antara kaum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy memaklumkan bahawa sehingga kini, sebanyak 48 syarikat sudah diluluskan geran yang berjumlah RM2.96 juta di bawah I-BAP.

Katanya, sebahagian besar penerima I-BAP merupakan perusahaan bersaiz kecil dan bantuan kepada kumpulan berkenaan diharap berupaya membantu menaik taraf perniagaan mereka sejajar dengan hasrat SME Corp.

“Malaysia memberikan tumpuan terhadap penskalaan PMKS dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) kelak khususnya bagi meningkatkan bilangan perusahaan bersaiz sederhana kepada lima peratus berbanding 1.8 peratus ketika ini.

“Permohonan baharu bagi program I-BAP akan dibuka selama dua minggu atau sehingga penerimaan permohonan mencapai jumlah komitmen maksimum yang diperuntukkan,” katanya. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan syarat permohonan I-BAP, usahawan boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp.-BH Online