Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksana pemakaian lencana Jalur Gemilang ke atas semua pelajar sekolah tidak akan membebankan penjaga atau ibu bapa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini memandangkan inisiatif yang sudah tertangguh lama untuk dimulakan itu sudah dilaksana di banyak negara termasuk jiran Malaysia.

Beliau berkata, pemberian secara percuma itu bagi membolehkan ia dapat dilaksana segera dengan matlamat kerajaan semata-mata untuk mendidik anak-anak supaya kasih kepada negaranya.

“Tiada yang susah, bendera diberi percuma, lekat saja. Banyak negara jiran sudah lama buat. Kita sudah fikir, bincang sana sini, (jadi) buat sajalah.

“Supaya anak-anak kita dari awal dididik untuk kasih kepada negara, itu saja. Saya tidak fikir hal ini pun mahu dijadikan polemik yang panjang. 

“Tengok negara jiran, yang saya tahu sudah lama amalkan. Jadi bila dicadangkan KPM, cadangan lama yang tertangguh saya putuskan dan Jemaah Menteri setuju supaya dapat dilaksana segera dengan pemberian bendera secara percuma,” katanya.

Anwar mengulas demikian berikutan ada cadangan supaya pelaksanaannya dibuat tanpa paksaan, selain ada ibu bapa masih belum jelas sama ada lencana itu perlu dibeli atau akan dibekalkan pihak sekolah.

KPM akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa mulai 21 April ini secara berperingkat.

Dalam kenyataannya semalam, KPM juga memaklumkan akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua pelajar untuk sesi persekolahan 2025/2026.

KPM juga sudah menyediakan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di Institusi Pendidikan bawah KPM yang disertakan bersama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 sebagai panduan berhubung tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar.-BH Online