SUNGAI BULOH: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah diarah mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi termasuk Kementerian Pengangkutan (MoT) bagi membincangkan penyelesaian terhadap isu kerosakan jalan raya akibat kenderaan lebih muatan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata KSU KKR kini berada dalam satu jawatankuasa khas yang membincangkan langkah untuk menangani masalah kenderaan melebihi had muatan yang menjadi punca kerosakan itu.
“Ketika ini, sudah ada perbincangan membabitkan KSU dan pegawai KKR bersama MoT serta mana-mana agensi berkepentingan dalam isu ini untuk duduk bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau trafik sempena Aidilfitri di Restoran Jejantas Sungai Buloh, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas perancangan masa depan dalam menangani isu hayat jalan raya akibat kenderaan lebih muatan.
BH hari ini melaporkan punca utama kerosakan jalan raya pada jangka pendek disebabkan kenderaan membawa muatan melebihi 10 peratus daripada berat dengan muatan (BDM), sekali gus menurunkan jangka hayat jalan raya sehingga 50 peratus atau lima tahun daripada jangka hayat asal.
Penulis kolum itu, Jamil Manan Supri, yang juga Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), berkata jika melebihi 20 peratus daripada BDM dibenarkan, jangka hayat jalan raya akan turun hingga 100 peratus dan menyebabkan kerosakan berlaku dalam masa singkat.
Beliau turut menyatakan punca kelewatan kerja penyelenggaraan disebabkan perlu menunggu kelulusan untuk kerja penyelenggaraan yang mengambil masa.
Mengulas lanjut, Alexander turut mengakui kerosakan jalan raya di negara ini antaranya berpunca daripada kenderaan melebihi muatan yang melanggar peraturan.
“Memang betul kenderaan berat punca yang jelas merosakkan jalan. Sebab itu kita mempunyai had muatan (untuk berada di atas jalan raya).
“Tetapi kita tidak nafikan, mereka langgar peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya.-BH Online