Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar mulai minggu depan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Kerajaan menimbang secara serius walaupun pada hemat saya (isu bonus penjawat awam) sudah diselesaikan pada bulan Februari tetapi kerana mengenangkan, pentadbiran itu lebih baik, khidmat mereka lebih baik dan kesungguhan yang ada.

“Maka saya putuskan, insya-Allah dalam minggu depan, kita akan salurkan Gred 56 ke bawah, RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara, RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini, hari ini.

Berdasarkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Gred 56 merujuk kepada Gred 15. 

Peruntukan cecah RM1 bilion BKK

Anwar berkata, penyaluran BKK Aidilfitri kepada semua penjawat awam dan pesara itu membabitkan peruntukan mencecah RM1 bilion. 

“Alhamdulillah oleh kerana kita catat pertumbuhan ekonomi lebih baik hasil negara lebih baik dan sumbangan penjawat awam lebih teratur, lebih disiplin, ketirisan masih ada tetapi banyak dikawal. 

“Bulan Februari (lalu sudah) diberi bonus dan sekarang ni Ramadan, tekanan untuk keluarga, persiapan untuk Aidilfitri dan ada juga yang mengeluh kos hidup meningkat sedikit,” katanya. 

Justeru, Perdana Menteri mahu penjawat awam faham kenapa kerajaan sentiasa bertegas dan keras mengenai isu tatakelola bagi mengelak ketirisan dan rasuah. 

“Sebab itu penting apabila kita (kerajaan) dapat hasil, kita pulangkan balik kepada rakyat,” katanya. 

STR diagih mulai Isnin depan

Selain itu, Anwar berkata, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan diagihkan mulai Isnin depan. 

“Untuk STR (peruntukan) mencecah RM1.7 bilion,” katanya. 

Terdahulu Anwar meluangkan masa bersama 3,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad di sini. 

Beliau sebelum itu bersama jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk ’10 Terakhir Ramadan Memburu Lailatul Qadar’ yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Asisten Superintendan Mohd Shahrizan Samsudin. 

Solat Jumaat kemudian diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Abdul Samad, Ustaz Bambang Eirman Bahudin. 

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu ungu sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar.-BH Online