KUALA LUMPUR: Indeks Kebahagiaan Malaysia meningkat lima mata dalam tempoh lima tahun, dengan mencatat 88.84 peratus tahun ini berbanding 83.34 peratus pada 2020.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata indeks kebahagiaan adalah pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk yang merangkumi aspek kesihatan serta kesejahteraan mental dan fizikal.
Ia juga mengambil kira tahap dan kualiti perkhidmatan diberi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan serta teratur.null
“Sebanyak 153 PBT di Semenanjung, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah serta Sarawak terbabit dalam Kajian Indeks Kebahagiaan.
“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 115 bandar atau 75 peratus mencapai status bahagia, manakala 38 bandar (25 peratus) lagi status sederhana bahagia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, Bandar Paling Bahagia dikenal pasti dalam Kategori Majlis Daerah ialah Lipis dan Cameron Highlands, Pahang; Kuala Krai, Kelantan; Bandar Baharu, Kedah; Kuala Pilah dan Jelebu, Negeri Sembilan; Jerantut, Pahang; serta Telupid, Sabah,” katanya.
Bandar Paling Bahagia (Kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran) pula ialah Bintulu, Sarawak; Temerloh, Pahang; dan Johor Bahru, Johor.
Selain itu Bandaraya Diraja Klang, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan; Jasin, Melaka; Pontian dan Batu Pahat, Johor; Ampang Jaya dan Petaling Jaya, Selangor; Bandaraya Melaka Bersejarah; serta Putrajaya.
Kor Ming turut merasmikan Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 bertema ‘Prihatin dan Kebersamaan #Demi Pertiwi’, di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya, hari ini.
Pada peringkat negara, tahap kebahagiaan penduduk dalam kawasan PBT diukur menerusi Indeks Kebahagiaan bawah Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) yang diselia oleh KPKT melalui PLANMalaysia.-BH Online