KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji keperluan untuk meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi menangani isu caj berlebihan di hospital swasta.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata ia bagi membolehkan pengenalan pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) yang bertujuan meningkatkan ketelusan caj rawatan kepada pesakit di hospital swasta.
“DRG adalah mekanisme pembayaran perkhidmatan kesihatan yang lebih moden dan holistik, berbanding dengan mekanisme pembayaran sedia ada iaitu bayaran fee untuk perkhidmatan.
“Berbanding fee untuk perkhidmatan, pembayaran berasaskan DRG yang dilengkapi pemantauan kualiti klinikal akan menggalakkan kecekapan hospital didorong untuk memberikan rawatan lebih berfokus dan berkesan, mengelakkan proses dan ujian yang tidak perlu serta pada masa sama memastikan pesakit mendapat penjagaan berkualiti,” katanya menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Ramkarpal, Hui Ying berkata, peningkatan inflasi kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih tinggi adalah punca utama premium produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) yang semakin meningkat.
Katanya, Insurers and Takaful Operators (ITO) dikehendaki mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam Dokumen Dasar Perniagaan MHIT yang menetapkan semula premium apabila kos tuntutan sebenar meningkat secara berterusan serta melebihi nilai ambang ditentukan lebih awal dalam amalan dalaman ITO.
“ITO juga tidak dibenarkan untuk menetapkan semula premium semata-mata untuk meningkatkan keuntungan ITO,” katanya.
Menyedari beban kewangan dihadapi rakyat, beliau berkata, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) sudah mengambil beberapa langkah interim bagi mengekang impak kenaikan premium MHIT.
“Kerajaan memahami langkah interim ini hanya bersifat sementara dan inisiatif bersepadu dan komprehensif perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah inflasi kos perubatan,” katanya.
Langkah interim itu antara lain katanya, termasuk transformasi reka bentuk produk MHIT melalui pembangunan produk asas dengan ciri yang lebih mampan serta meluaskan pilihan kesihatan yang mampu milik melalui inisiatif RakanKKM dan perkembangan hospital yang tidak berasaskan keuntungan.-BH Online