SEREMBAN: Kerajaan negeri menyasarkan kutipan RM4.5 juta untuk Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan yang menjadi sebahagian daripada projek pembangunan Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata RM1 juta daripada kutipan itu akan disalurkan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi tujuan kerja awalan.
“Projek ini bukan hanya bertujuan menyediakan kemudahan apartmen wakaf, tetapi juga bagi membina sebuah bandar baharu di Gaza.
“Terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim yang memberi peluang kepada penjawat awam di Negeri Sembilan turut serta dalam program wakaf ini,” katanya selepas melancarkan Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan di Masjid Negeri di sini, hari ini.
Selain Mohd Zafir, turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Sani Araby Abdul Halim.
Terdahulu, media melaporkan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza yang dilancarkan selepas Ramadan ini bakal menjadi model pertama pembangunan wakaf Malaysia di Palestin, sekali gus memperlihatkan bukti solidariti negara terhadap rakyat Palestin.
Sani Araby dilaporkan berkata, inisiatif ini tidak hanya memberikan bantuan kemanusiaan, tetapi usaha mampan membabitkan solidariti rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penyokong utama perjuangan Palestin di pentas antarabangsa.
Aminuddin turut mencadangkan wakaf ini boleh disalurkan melalui potongan gaji sebanyak RM50 hingga RM100 setiap bulan atau lebih, bergantung kepada perancangan individu.
Beliau berkata, umat Islam diharap dapat menyumbang melalui tabung berkenaan sempena Ramadan.
“Saya berharap inisiatif ini akan membantu mencapai sasaran kutipan ditetapkan. Rakyat Palestin pasti gembira menerima berita ini, terutama sebagai satu hadiah istimewa di bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, Sani Araby yang juga pengasas Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza, berkata projek itu membabitkan pembangunan 14 blok apartmen wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia.
Beliau berkata, projek itu akan dibangunkan dengan kemudahan utama seperti masjid, sekolah, klinik kesihatan, taman rekreasi dan menara tangki air membabitkan kos keseluruhan mencecah RM120 juta.
“Projek ini simbol solidariti Malaysia dalam usaha membantu rakyat Palestin dengan tanah wakaf seluas 35 hektar di Gaza yang dipersetujui pada Februari 2023,” katanya.-BH Online