KUCHING: Pemimpin masyarakat, guru, belia dan peniaga dalam kawasan Parlimen perlu menguasai teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi menghadapi pelbagai cabaran masa kini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, semua golongan terbabit perlu memahirkan diri dengan teknologi itu berikutan banyak penyalahgunaan teknologi dilakukan untuk tujuan tidak baik ketika ini.
Justeru, katanya, sebagai permulaan program khusus kemahiran teknologi AI akan dilaksanakan di kawasan Parlimen Petra Jaya dengan kerjasama Microsoft.
“Kita mencadangkan untuk mengadakan satu kursus di Parlimen Petra Jaya dengan satu daripada fokusnya ialah bagaimana hendak menguasai teknologi AI dan teknologi lain supaya kita dapat berhubung serta menggunakan teknologi untuk kebaikan.
“Sekarang teknologi turut digunakan untuk perkara tidak baik dan kita mahu masyarakat mengetahui apa cara terbaik menggunakan teknologi untuk kebaikan, sama ada menyebarkan maklumat untuk pengurusan dan pelbagai perkara.
“Pada masa sama, kita mahu lebih ramai masyarakat mengetahui bagaimana teknologi disalahgunakan dan apabila kita mengetahuinya, ia dapat mengelak masyarakat terjebak menjadi mangsa termasuk penipuan secara dalam talian,” katanya selepas Majlis Penyampaian Geran Tahunan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Masjid serta Surau Kawasan Parlimen Petra Jaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Sejumlah RM591,000 diagihkan kepada 87 JKKK, 30 masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Petra Jaya yang menerima geran tahunan itu.
Setiap JKKK dan surau masing-masing menerima geran RM3,000, manakala masjid menerima RM5,000.
Geran tahunan itu disalurkan bagi membolehkan JKKK, masjid dan surau melaksanakan aktiviti seperti mesyuarat, gotong-royong, ceramah dan kursus, keceriaan kampung, kebajikan kampung serta pengimarahan masjid dan surau.-BH Online