KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan Pelan Strategik Pengurusan Risiko Pokok Teduhan Kuala Lumpur 2024-2030 bagi pengurusan dan pemantauan risiko pokok tumbang di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pelan strategik itu diluluskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Risiko Pokok Teduhan di Kuala Lumpur (KL) yang dipengerusikan beliau semalam.
Menurutnya, di bawah dokumen pelan strategik itu, satu tabung dana amanah awam akan diwujudkan, yang dijangka berfungsi sebagai mekanisme pembiayaan jangka panjang membabitkan sumber daripada kerajaan, swasta dan masyarakat.
Katanya, pelan inklusif itu juga mengambil kira banyak faktor, termasuk pengambilan arboris atau `doktor pokok’ bagi mendapatkan input daripada pelbagai pihak.
“Dengan keanggotaan 13 orang dalam Jawatankuasa, termasuk dalam kalangan penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), ini ruang untuk kita menyediakan pelan strategik yang baik, yang bukan saja untuk Kuala Lumpur tapi turut boleh dikongsi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
“Sudah tentu dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, kemungkinan lebih banyak insiden pokok tumbang yang tidak dijangka dan membawa risiko keselamatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai usaha DBKL dalam membuat penilaian risiko pokok tumbang di KL dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) pemantauan pokok dapat diseragamkan dengan PBT lain.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri M Saravanan (BN-Tapah) mengenai langkah penambahbaikan bagi menambah pokok atau binaan bagi membendung masalah cuaca panas di kawasan Tasik Titiwangsa, Dr Zaliha berkata, sehingga kini, sebanyak 3,781 pokok ditanam di kawasan itu, terdiri daripada pelbagai spesies, seperti Penaga Lilin, Kayu Arang, Gelam, Kemboja, Ashoka, selain Hujan-Hujan dan Meranti, yang terkenal dengan kanopi yang luas dan memberikan teduhan kepada pengunjung.
Katanya, pokok di Taman Tasik Titiwangsa juga ditanam dalam kluster tertentu supaya membentuk lorong angin semula jadi, yang membantu pengudaraan dan mengurangkan suhu sekitar.
Pada masa sama, kemudahan seperti gazebo dan wakaf turut disediakan di sekitar taman sebagai tempat berteduh daripada terik matahari serta berehat.
“Bagaimanapun, DBKL akan meneliti keperluan untuk menambah lebih banyak pokok rendang di lokasi strategik, seperti laluan pejalan kaki, kawasan lapang, dan persisiran tasik, yang bertujuan menyediakan lebih banyak kawasan teduhan bagi keselesaan pengunjung serta memperkaya biodiversiti flora dan fauna di persekitaran bandar raya,” katanya.-BH Online