KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri diingatkan supaya menerima kritikan dengan hati terbuka dan memperbaiki kelompangan yang ada, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri juga menegaskan keperluan kesatuan dan kebersamaan yang kuat dalam kalangan Jemaah Menteri, sekali gus berfungsi sebagai kerajaan MADANI yang benar-benar mengangkat suara serta kehendak rakyat.
“Marcapada hari ini termasuk situasi geopolitik dan teknologi, menuntut mana-mana kerajaan untuk bergerak pantas dan berubah agar terus kekal relevan dan berfungsi dengan baik kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi amanat ringkas sempena Pemukiman Kerajaan MADANI 2025 selama dua hari dekat Bangi, Selangor, hari ini.
Mengulas program berkenaan, Perdana Menteri berkata, ia bertujuan memastikan kesinambungan perancangan yang diatur bergerak lancar bagi mencorak hala tuju negara dengan penuh berhemah dan bijaksana.
“Platform ini membuka ruang sinergi dalam kalangan Jemaah Menteri bagi bersama-sama menambah baik, mengutarakan idea lebih segar dan merangka prakarsa (inisiatif) lebih strategik, terutama kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi negara,” katanya.-BH Online