Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebagai pemimpin berani dan tegas dalam menuntut keadilan terhadap Palestin sekaligus membawa keamanan di Asia Barat. 

Perdana Menteri berkata, ketika negara lain masih teragak-agak untuk bertindak, Erdogan menunjukkan kejelasan moral dan keberaniannya terhadap isu Palestin.

“Dia bersuara tanpa gentar menentang perampasan, pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai (oleh Israel di Semenanjung Gaza). 

“Sokongan Turkiye melebihi kata-kata, ia nyata, diplomatik dan teguh.

“Biarpun orang lain masih teragak-agak, dia tetap tegas. Apabila perhatian global semakin meningkat, beliau sudah memastikan bahawa sokongan untuk Palestin diterjemahkan ke dalam tindakan yang bermakna,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Syarahan Umum Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini, hari ini.

Atas keberanian itu kata Anwar, Turkiye kini menjadi antara kuasa global dan memperoleh reputasi sebagai pengantara yang dipercayai untuk keamanan di Asia Barat dan hal ehwal eropah.

Beliau berkata, hasilnya boleh dilihat hari ini dengan dorongan prestasi ekonominya, peremajaan infrastruktur dan diplomasinya yang berani, semuanya berpaksi kepada kewibawaan kepimpinan.

“Kejayaan dron Bayraktar adalah kejayaan industri. Projek kenderaan elektrik TOGG, kemajuan dalam teknologi angkasa lepas dan evolusi pesat keupayaan kecerdasan buatan (AI), semuanya menunjukkan (Turkiye) sebuah negara yang enggan dibelenggu oleh kekangan masa lalu dan menerima pembebasan secara bermakna bagi negara untuk benar-benar bergerak ke hadapan.

“Hari ini, Turkiye bukan saja bertindak balas terhadap masa lalu, ia membentuknya. Ini kerana Presiden Erdogan memahami bahawa sejarah tidak memandang baik kepada orang yang lemah lembut, (sebaliknya) ia memihak kepada yang berani.

Sementara itu, Erdogan dalam ucapannya menghargai sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan Palestin serta mengalu-alukan pendirian teguh negara ini dalam memerangi Islamofobia.

Beliau berkata, Turkiye juga berazam untuk meneruskan hubungan dengan Malaysia dalam D8 dan memperdalam kerjasama dalam pembangunan ekonomi.

“Kami juga berbangga dengan pencapaian Malaysia dalam diplomasi, pembuatan, kewangan dan perdagangan. Saya mendoakan kejayaan Malaysia dalam jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Saya amat berharap penggal baru di bawah kepimpinan Malaysia ini dapat membantu dalam mengukuhkan kerjasama antara negara kita dan ASEAN,” katanya. 

Katanya, Turkiye dan Malaysia juga menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan sehingga AS$10 bilion (RM44.7 bilion), menjangkau dalam bidang teknologi semikonduktor kepada automotif serta daripada teknologi pesawat kepada simulator awam.

“Kami ingin meningkatkan usaha bersama kami dalam setiap sektor dan untuk maju bersama dalam pelbagai bidang dengan Malaysia,” katanya.-BH Online