Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan sebanyak 28 aduan diterima pihaknya melibatkan pelbagai jenis kes dari tahun 2023 hingga 2024 dalam industri sukan negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sebanyak 16 kes diselesaikan melibatkan penderaan seksual (dua kes), penderaan mental (tiga), penderaan fizikal (dua), buli (empat), ugutan (dua), antunan seksual (dua) dan pengabaian melibatkan satu kes.

Menurutnya, sebanyak 11 kes masih aktif dengan jumlah tertinggi adalah penderaan seksual (empat kes), penderaan mental (dua), penderaan fizikal (dua) dan pengabaian (tiga kes).

“Dalam usaha memperkasakan pelaksanaan Kod Sukan Selamat, KBS akan meneruskan program advokasi dan kesedaran di peringkat akar umbi bagi memastikan seluruh komuniti sukan memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Program ini akan diselaraskan oleh 44 orang focal point sukan selamat yang telah dilantik dari kalangan pegawai KBS, KementerianPendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah intervensi untuk wanita dalam sukan melalui Kod Sukan Selamat dan perancangan kementerian untuk memperkasakan kod itu.

Syahredzan juga bertanyakan mengenai bilangan aduan yang dikendalikan serta statusnya yang terkini dengan pecahan jenis kes.

Mengulas lanjut, Hannah menegaskan, sebagai langkah pencegahan semua organisasi berkaitan sukan juga perlu membuat semakan latar belakang sebelum melantik mana-mana jurulatih atau pegawai teknikal terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

“Kewajipan menandatangani akujanji pematuhan Sukan Selamat serta Polisi Perlindungan Kanak-kanak dalam mana-mana kontrak atau lantikan juga merupakan antara langkah awal yang perlu diterapkan,” katanya.-BH Online