Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Ahli Parlimen menghentikan tindakan bermain politik atas setiap isu.

Baginda bertitah, Parlimen adalah dewan perhimpunan paling utama yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat, tempat undang-undang digubal dan menjadi medan semak serta imbang atas pentadbiran negara.

“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, tetapi adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

“Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat.

“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri saja,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim memuji sikap Ahli Parlimen yang dilihat sudah banyak berubah dan lebih sopan dalam menyampaikan perbahasan pada persidangan Parlimen tahun lalu.

Bagaimanapun, titah baginda, masih ada segelintir daripada mereka yang sukar membuang sikap lama.

“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk itu kerana saya percaya setiap Ahli Parlimen sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing.

“Saya juga menghargai peranan yang dimainkan semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” titah baginda.-BH Online