KUALA LUMPUR: Tiada makna berada di kota besar sekiranya penghuni tidak berpegang kepada nilai kemanusiaan dan kasih sayang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Justeru, beliau meminta supaya penduduk WP Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membawa lebih banyak kebaikan dan menyemai semangat baharu.
“Mari kita buktikan bahawa kemajuan bukan hanya mengenai bangunan yang megah, tetapi berkaitan nilai-nilai yang kita pegang erat, iaitu nilai ketamadunan MADANI yang kita junjung.
“Kita jaga tradisi, kita pelihara budaya, kita semai perpaduan, di mana pun kita berada. Kita adalah warga yang punya tanggungjawab bersama untuk memastikan wilayah ini terus makmur, aman dan sejahtera.
“Percayalah, setiap usaha kecil itu memberi impak besar. Senyuman yang kita berikan, sampah yang kita kutip, jiran yang kita tegur, semuanya menyumbang kepada membentuk komuniti yang lebih baik.
“WP ini adalah rumah kita dan rumah yang bahagia terhasil daripada cinta, hormat dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Wilayah, hari ini.
Zaliha turut mengajak penduduk di WP untuk membina masa depan yang lebih cerah.
“Mari kita terus bersatu dan pastikan setiap langkah yang kita ambil, membawa kebaikan bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk generasi akan datang.
“Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2025. Semoga Wilayah ini terus menjadi tanah harapan, simbol perpaduan dan kebanggaan kita bersama,” katanya.
Zaliha berkata Wilayah Persekutuan bukan sekadar tempat tinggal tetapi ia adalah tempat membina impian, mencipta kenangan dan menyemai harapan.
“Namun, kemajuan tidak pernah bermakna jika hati kita kosong dan jiwa kita terpisah.
“Apa yang membuatkan WP ini istimewa, bukan sekadar kemodenannya, tetapi semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan yang kita sematkan di setiap sudutnya, selaras prinsip hormat yang merupakan salah satu nilai MADANI,” katanya.-BH Online