Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 42,689 usahawan koperasi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sarawak menerima manfaat hasil pembiayaan RM1.084 bilion disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tahun lalu.

Jumlah itu meningkat berbanding RM731.205 juta yang disalurkan kementerian berkenaan kepada 42,006 usahawan pada 2023.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata peruntukan itu disalurkan melalui tujuh agensi di bawah KUSKOP iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau yakin, susulan kerancakan pembangunan ekonomi di Sarawak, jumlah pembiayaan akan meningkat tahun ini.

“Saya amat yakin kita boleh menambah lagi pembiayaan diperlukan usahawan PMKS dan koperasi di Sarawak di bawah inisiatif Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara kita.

“Dasar ini membolehkan kementerian kita memberi fokus tambahan kepada

pembangunan usahawan dan koperasi di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis peluncuran Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 di Gedong, Sarawak yang disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari.

Tambah Ewon, antara geran pembiayaan disediakan untuk usahawan PMKS adalah geran khas usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak, Premis Tamu Desa dan Program Digital Desa Bank Rakyat.

Terdahulu ketika berucap, Ewon berkata Program Digital Desa Bank Rakyat adalah inisiatif Bank Rakyat membawa perkhidmatan perbankan digital dan perkhidmatan digital lain kepada rakyat di luar bandar.

“Sejak kunjungan hormat pertama saya kepada Premier Sarawak pada awal 2023 sebaik diberi amanah di kementerian ini, saya menyatakan tanpa mengurangkan fokus sedia ada di kementerian seluruh negara, saya mahu memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.

“Dengan kerjasama penuh kerajaan Sarawak, banyak inisiatif kita laksanakan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, melalui Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, kementerian memberi fokus tambahan di wilayah Borneo antaranya melantik Ahli Lembaga Pengarah dari negeri ini untuk menganggotai lima agensi di bawah KUSKOP bagi memastikan perkhidmatan kementerian dan agensi itu dapat mencakupi keperluan di Sarawak.

Selain itu, katanya, KUSKOP buat pertama kali pada tahun lalu melaksanakan projek premis Tamu Desa khusus untuk Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini 39 tapak membabitkan peruntukan RM7.6 juta dibina dan dinaik taraf di Sarawak.

“Di bawah geran khas usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang juga diperkenalkan buat pertama kali oleh KUSKOP pula, sebanyak 50 usahawan Sarawak menerima geran melibatkan peruntukan RM4.91 juta.

“Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga membuka pejabat perkhidmatannya di Sarawak pada tahun 2023,” katanya.-BH Online