KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan membawa kemelut ekonomi jangka panjang di Asia dengan mengenakan tarif tinggi, sambil mengatakan bahawa di sebalik ‘gegaran awal’ yang berlaku, sistem perdagangan global akan terus berfungsi seperti biasa.
Dalam temu bual dengan Financial Times, Perdana Menteri berkata beliau sudah berbincang dengan pemimpin-pemimpin seperti Presiden China, Xi Jinping, dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu, Mohammed bin Zayed.
Walaupun mengakui kebimbangan yang melanda Asia, Anwar berkata kebanyakan pihak percaya bahawa tarif seharusnya tidak dianggap sebagai sesuatu yang ‘terlalu negatif’ dan AS ingin melindungi kepentingannya sendiri.
Namun begitu, katanya, dalam jangka panjang, halangan perdagangan tidak akan membantu kerana saling kebergantungan itu sangat tinggi.
Anwar menjangka akan berlaku ‘gegaran awal’ selepas pelantikan Trump, namun beliau percaya selepas itu, ‘rasionaliti mungkin akan menang’.
Beliau berkata: “Anda boleh menjangkakan sedikit ketidaktentuan atau kegawatan awal, tetapi selepas lima atau enam bulan, keadaan akan kembali normal. Terdapat terlalu banyak konglomerat dan syarikat AS yang mempunyai kepentingan dan pergantungan yang besar terhadap perdagangan dan pelaburan luar negara.”
Ketika berucap di London semasa lawatan rasmi ke United Kingdom (UK) baru-baru ini, Perdana Menteri berkata bahawa bagi kebanyakan orang di luar negara Barat, Trump dilihat ‘lebih bertekad dan lebih jelas’ berbanding Joe Biden.
Presiden yang dipilih itu tidak menunjukkan ‘pendirian yang kabur atau tidak pasti’, tambahnya.
Namun, beliau memberi amaran bahawa masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada Trump akan lebih mudah diajak berunding berbanding Biden.
“Masih terlalu awal,” katanya dalam temubual itu.
Sebagai negara sedang pesat membangun, Malaysia berusaha untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan kedua-dua AS dan China walaupun Beijing dan Washington berdepan ketegangan berkaitan isu keselamatan dan ekonomi.
Anwar berkata, AS telah semakin kehilangan pengaruh di Asia Tenggara disebabkan kekurangan keterlibatan aktifnya.
“Kita berhubung baik dengan AS tetapi mereka tidak melibatkan diri di rantau ini seperti yang mereka lakukan dahulu. China dalam hal ini menunjukkan sikap yang lebih positif,” katanya, sambil memberi contoh lawatan baru-baru ini ke Malaysia oleh pegawai kanan China.
“Mereka memberi akses yang lebih baik, anda boleh bertemu dengan mereka dengan mudah. Kami menghantar menteri ke sana, mereka menghantar menteri ke sini,” kata beliau.
Menurut Anwar, AS telah mengabaikan tumpuannya terhadap Asia, mungkin disebabkan fokus beralih kepada pencerobohan Russia ke Ukraine.
“Mungkin mereka lebih fokus kepada Eropah, saya tidak tahu. Tetapi sudah pasti mereka mengurangkan kepentingan (terhadap rantau ini) selain daripada kenyataan dasar luar umum,” katanya.
Sejak Anwar memegang jawatan lebih dua tahun lalu, lapor Financial Times, Malaysia dilihat semakin rapat dengan Beijing.
Pada masa ketegangan meningkat di Laut China Selatan, ini telah mengganggu beberapa rakan Malaysia dalam ASEAN, kumpulan serantau yang dianggotai oleh 10 negara dan dipengerusikan oleh Malaysia tahun ini.
Anwar menegaskan bahawa AS kekal pelabur penting di Malaysia dan kekal menjadi kuasa dominan dalam industri cip mikro, namun beliau mengalu-alukan peningkatan pelaburan China dalam infrastruktur dan bidang lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Adalah wajar ekonomi kecil seperti Malaysia untuk mengembangkan hubungan dengan China.
“Satu-satunya isu yang kontroversial adalah Laut China Selatan (di mana China mempunyai tuntutan wilayah yang bertentangan dengan beberapa negara anggota ASEAN) di mana kita berusaha berhubung baik dan mengambil pendirian yang tegas,” katanya.
Anwar mengakui bahawa beliau mungkin tidak begitu lantang seperti Filipina berkenaan sikap konfrontasi China di Laut China Selatan.
Ditanya sama ada ASEAN di bawah kepimpinannya akan bersikap lebih tegas terhadap China berbanding beberapa pemimpin sebelumnya, beliau berkata: “Kenapa perlu tegas? Kita berbeza pendapat mengenai banyak isu dasar luar dengan AS tetapi kita mahu mereka menjadi sekutu yang penting. Begitu juga dengan China, saya rasa ia bukan soal perlu tegas terhadap jiran yang kuat dan besar.”-BH Online